Wednesday, 19 July 2017

KESAN - KESAN AKIBAT KETIDAKHARMONIAN ANTARA KAUM


  Hubungan ketidakharmonian antara kaum akan mengakibatkan negara kita berada di dalam keadaan yang tidak stabil. Hal ini akan mendorong kepada pergaduhan atau pertelingkahan antara kaum. Keadaan yang tidak stabil ini akan membimbangkan para pelabur.

      Sekiranya, sesebuah negara mengalami suasana huru-hara, pelabur asing akan terasa bimbang terhadap modal yang dilaburkan juga tentang keselamatan perniagaan mereka di negara ini.Kemerosotan ekonomi akan melambatkan proses perkembangan dan kemajuan negara kerana kehidupan rakyat yang derita akibat kenaikan harga barang secara mendatar dan kemunduran teknologi kerana tiada sumbangan modal daripada para pelabur di dalam mahupun dari luar negara.

    Malahan, taraf hidup penduduk akan menjadi rendah akibat ketiadaan peluang pekerjaan. Oleh hal yang sedemikian, perpaduan di kalangan rakyat menjadi salah satu faktor penting dalam penjanaan ekonomi negara.
    
1.Mengancam Keselamatan Negara
      
    Pertahanan bagi sesebuah negara juga banyak bergantung kepada rakyatnya. Secara langsungnya, hubungan tegang antara rakyat akibat daripada perselisihan sememangnya mampu menggugat keselamatan negara.

     Hal ini demikian kerana hubungan yang harmonis di kalangan rakyat secara tidak langsungnya akan mewujudkan sebuah tembok pertahanan yang kukuh dan dapat menjamin keselamatan sesebuah negara.Negara yang kacau bilau bukan sahaja terdedah kepada ancaman dari dalaman tetapi juga dari luar yang melihat ini sebagai peluang untuk campur tangan sekaligus membuka peluang untuk menguasai negara tersebut sama ada secara halus atau pun terang-terangan.

2.Menjejaskan Imej Negara
    
    Bagi sebuah negara yang tidak aman, ia akan menjadi tajuk perbualan di peringkat global. Imej negara terjejas dan keadaan ini menjadi buruk apabila kita akan ditolak sama sekali untuk mengadakan kerjasama dengan negara-negara maju yang lain.

     Negara akan menjadi mundur sementara negara-negara yang tidak mengalami pergolakan kaum akan mencapai kejayaan secara berterusan. Tanpa keamanan, negara tersebut sukar untuk melakukan sesuatu yang dapat membanggakan mahupun menarik perhatian negara lain.

    Sebaliknya, jika perpaduan dan hubungan harmonis wujud antara rakyat, ia adalah simbol kejayaan di peringkat global. Dengan ini, sesebuah negara tersebut bukan sahaja akan disegani oleh negara lain malah akan menjadi model dan rujukan kepada negara lain.

    Hubungan antara negara akan berjaya dianjurkan dan pelbagai peluang kerjasama akan wujud lalu membawa keuntungan ekonomi, sosial mahupun politik.

No comments:

Post a Comment